datuk ahmad jais pass away

on Tuesday, October 11, 2011


KUALA LUMPUR: Penyanyi veteran Datuk Mohd Jais Ahmad atau lebih dikenali sebagai Ahmad Jais meninggal dunia di Pusat Perubatan DEMC, jam 9.20 pagi ini dipercayai akibat masalah paru-paru.



Allahyarham Ahmad Jais berusia 75 tahun.
Menantunya, Amirul Izwan Razak, 28, berkata jenazah Allahyarham dimandikan dan disembahyangkan di Masjid Negeri Shah Alam sebelum dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Seksyen 21, Shah Alam, hari ini.
Penyanyi yang popular dengan lagu "Selamat Hari Raya" dan "Budi Setahun Segunung Intan" yang dinyanyikan bersama Kartina Dahari itu dimasukkan ke pusat perubatan itu sejak dua minggu lalu kerana kesukaran bernafas.

Allahyarham Ahmad Jais meninggalkan lima orang anak dan isterinya Mas Halilah Mas Nayeem telah meninggal dunia pada 22 Jun 2009.

Penyanyi yang mula berkecimpung dalam bidang muzik sekitar era 60-an mengadu penat selepas pulang daripada membuat persembahan di Batu Pahat, Johor, pada 8 September lalu, tetapi sakitnya mula serius pada malam 20 September lalu sehingga terpaksa menggunakan alat bantuan pernafasan di Hospital Pakar KPJ Selangor, Seksyen 20 di sini.

Allahyarham kemudian dipindahkan ke DEMC untuk rawatan lanjut.
Persembahan terakhir Allahyarham ialah pada majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri peringkat kebangsaan di Permatang Pauh, Pulau Pinang pada 11 September lalu yang turut dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. - BERNAMA

Biodata.
Datuk Ahmad Jais (28 Mac 1936-11 Oktober 2011) telah dilahirkan di Kapar, Klang, Selangor pada tahun 28 March 1936. Beliau kemudiannya berhijrah ke Kuala Lumpur pada 1957 dan mula menyanyi di majlis keramaian seperti kenduri kahwin.

Pada Oktober 1959, Ahmad Jais berhijrah ke Singapura untuk mencuba nasibnya. Sebelum bintangnya mula bersinar, beliau pernah bekerja sebagai budak pejabat di Cycle & Carriage dengan gaji RM80 sebulan. Bakat seni dalam diri Ahmad Jais mula terbukti apabila memenangi pertandingan nyanyian pada 1959 dan 1960.

Pada tahun 1961, ramai peserta pertandingan itu yang membantah apabila dia ingin mengambil bahagian buat kali ketiga kerana Ahmad Jais merupakan penyandang gelaran. Beliau terpaksa mengalah dan hanya menyertai pertandingan Lagu Pop Singapura, dan dinobatkan sebagai juara Lagu Pop Singapura.

Pada tahun 1962, Ahmad Jais kembali menyertai pertandingan Lagu Asli Singapura dan sekali lagi meraih gelaran juara. Beliau pernah merakamkan lagu-lagunya di bawah label Panda Records bersama Orkes Selayang Pandang.

Kata orang, berakit-rakit ke hulu, berenang-renang ke tepian, bersakit-sakit dulu, bersenang-senang kemudian, kerjaya nyanyian Ahmad Jais mula terbuka luas apabila beliau mendapat peluang menjadi penyanyi undangan untuk Kumpulan Seriwarna yang membuat persembahan di Panggung Victoria. Pada zaman itu, panggung terbabit sering menjadi tumpuan golongan elit dan bangsawan. Ternyata kehebatan suaranya sewaktu menyanyikan lagu Di Ambang Sore diperakui tokoh muzik terkenal Singapura, Zubir Said yang banyak terbabit dengan dunia rakaman.

Selain Seriwarna, Ahmad Jais pernah menjadi penyanyi jemputan bagi sebuah lagi kumpulan muzik terkenal di Singapura, Orkes Melati Putih. Akhirnya namanya mula menjadi sebutan. Selain menyanyi secara solo, Ahmad Jais juga terkenal dengan lagu duet bersama pasangannya, Allahyarham Datin Rafeah Buang iaitu, Juwitaku Sayang dan Budi Setahun Segunung Intan (Kartina Dahari).

Album pertama Ahmad Jais muncul pada 1965. Album itu tidak lain daripada Kucupan Azimat. Sehingga kini Ahmad Jais sudah merakamkan lebih 100 lagu dalam 15 album, kebanyakannya dalam bentuk EP dan LP.

Dato Ahmad Jais turut terbabit bagi menjayakan Konsert Pop Yeh Yeh Suatu Evolusi 2007, di Stadium Malawati dan julung kali diadakan oleh Global Ads Workstation Sdn. Bhd.

Pada 23 Mac 2007, beliau diberi kepercayaan untuk mengadakan Konsert Bahtera Merdeka anjuran Istana Budaya yang diiringi oleh Orkestra Simfoni Kebangsaan.

1 comments:

Falcon4 said...

I LOVE YOU JAIS! I LOVEDED YOU-U-U!!.. T__T